Misteri pohon beringin Jogja

Posted by i in

BARU-BARU ini ketika berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia, bersama seorang teman, pengayuh beca kami, Mas Adi bercerita serba sedikit tentang misteri beberapa lokasi suci di sekitar wilayah itu.
Antara yang disebutkan kepada kami ialah misteri beringin kembar yang terletak di Alun-Alun Selatan atau lebih dikenali dengan panggilan Alun-Alun Kidul yang terletak di dalam wilayah Keraton Ngayogyakarto.
Ia bukanlah binaan lama seperti kompleks istana sultan atau keraton, apatah lagi candi yang menjadi tempat pemujaan kuasa agung seperti Borobudur atau Prambanan, sebaliknya ia cuma dua batang pohon beringin merimbun yang usianya mencecah ratusan tahun.
Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang menarik tentang pokok beringin kembar yang ditanam di kawasan istana sultan ini.
Namun, setelah melaluinya beberapa kali, tidak salah kalau penulis katakan ia adalah titik tumpu kepada kehidupan malam penduduk Jogjakarta.
Masangin
Tumbuh merimbun di sebuah kawasan lapang yang membentuk seakan-akan bulatan besar, ia dikelilingi oleh jalan raya yang sentiasa padat dengan manusia.
Menjelang pukul 5 petang, tanah datar Alun-Alun Kidul atau nama singkatannya Alkid, mula menjadi tumpuan ramai.
Gerai-gerai jualan makanan turut dipasang. Paling terkenal di sini ialah minuman ronde, ia seperti laicikang namun rasanya lebih pedas dan berangin, hasil ekstrak halia yang dijadikan ramuan utama.
Selain duduk bersila di atas hamparan tikar sambil menikmati hidangan malam dari gerai di seberang jalan, ramai juga yang berkunjung ke sini untuk bermain bersama anak-anak. Tidak ketinggalan, pasangan muda-mudi yang menjadikan dataran ini sebagai lokasi untuk bertemu janji.
Di satu sudut lain pula, ada yang mahu menimba pengalaman mengayuh basikal serta menaiki kereta kuda dan beca yang dihias indah dengan lampu warna-warni.
“Itu hanya aktiviti sampingan di sini. Ramai yang datang ke Alkid bukan sekadar untuk mengisi waktu malam, tetapi ramai yang datang ke sini untuk mencuba nasib,” ujar Mas Adi.
Usai meladeni gastronomi ala Jawa, penulis mencuba acara yang dinamakan Masangin iaitu berjalan di antara dua beringin yang ada di tengah Alkid dengan mata tertutup dengan kain hitam.

KAIN penutup mata boleh disewa pada harga Rp3,000.


Jaraknya tidak terlalu lebar, kira-kira lima meter. Namun, tidak ramai yang boleh melepasi laluan angin tersebut. Bahkan, ramai yang akan melencong ke tempat lain atau melanggar konkrit yang memagari pokok berkenaan.
Menurut Mas Adi, mengikut kepercayaan orang tua-tua, jika ada orang yang mampu berjalan lurus melepasi laluan di antara dua pohon beringin itu, hajatnya akan tercapai.
“Namun, jika anda berhajat untuk melakukan acara ini, jangan sekali-kali mengintai keluar kerana ia boleh membawa anda akan masuk ke dunia lain.
“Anda akan merasakan Alkid begitu sepi malah sering ada yang mengadu mereka berjalan dalam satu kawasan yang kuat berangin, sedangkan persekitaran sebenar tidak begitu,” jelasnya yang belum pernah bertemu dengan kejadian pelik di situ.
Penulis cuba mencari logik daripada kata-kata Mas Adi. Dalam hati terdetik, masakan boleh melencong sedangkan laluan itu lurus dan lebar?
Dengan sewaan kain penutup mata sebanyak Rp3,000 (RM1), penulis mula berjalan dari jarak 50 meter menuju ke laluan di antara pohon beringin itu.
Langkah diatur cermat, gerakan juga perlahan kerana mahu memastikan kaki lurus ke hadapan. Rakan pengembara bertindak menjadi pengawal lalu lintas demi memastikan tiada orang yang melanggar dan dilanggar.
Dengan mata yang ditutup rapat, penulis hanya mendengar sekali sahaja suara daripada rakan yang meminta diberi laluan. Selebihnya, penulis merasakan kawasan itu sunyi sepi.
Enggan memikirkan yang bukan-bukan, langkah diteruskan. Minda kuat mengatakan kaki mampu berjalan lurus.
Kira-kira 100 langkah kemudian, rakan menyuruh penulis membuka mata. Alangkah terkejutnya, kaki yang diatur lurus tadi melencong hingga menghimpit ke arah pokok beringin yang ada di sebelah kiri.

SUASANA di Alun-Alun Kidul yang terletak di wilayah Keraton Ngayogyakarto, Jogjakarta meriah pada waktu malam.


Mungkin betul kata Mas Adi, ramai yang merancang langkah dengan betul tetapi kaki tetap juga menuju ke arah lain.
Syarat puteri
Berborak sebentar dengan pemilik kain hitam, Albertus Harjo Suwito yang telah menjadikan Alun-Alun Kidul sebagai tempat mencari nafkah selama 30 tahun, dia berkata ritual melewati dua pohon beringin yang disebut sebagai Ngalah Berkah itu bukan perbuatan tahyul.
“Ia sekadar acara untuk melestarikan budaya dari zaman dahulu. Di samping itu, ia juga merupakan ritual biasa untuk memohon sesuatu kepada Tuhan. Sama ada dimakbulkan atau tidak, ia ketentuan Yang Maha Kuasa,” katanya.
Bertanya lanjut mengenai kisah di sebalik acara Masangin ini, Albertus membuka cerita.
“Pada zaman dahulu, ketika Sultan Hamengkubuwono pertama memerintah, puterinya mahu dirisik oleh seorang pemuda namun empunya diri tidak menyukainya.
“Lalu tuan puteri meletakkan syarat kepada baginda sultan jika ingin mencarikan jodoh untuknya.
“Jika ada lelaki yang ingin menikahi tuan puteri, dia harus berjalan dengan mata tertutup dari balai penghadapan melalui pohon beringin kembar di tengah-tengah Alun-Alun dan tamat di balai penghadapan yang terletak di bahagian selatan.
“Apabila pemuda itu gagal melalui pohon beringin berkenaan, mereka menganggapnya berhati busuk.
“Selepas detik itu, sultan menitahkan kepada sekalian rakyat bahawa hanya pemuda yang hatinya bersih dan tulus mampu melalui laluan tersebut dan diberi peluang untuk menikahi puterinya,” katanya.

i

InfoTaip menyajikan info-info terbaru, terkini, terhangat dan terbaik untuk anda semua. Pastikan artikel pilihan anda bookmark terlebih dahulu. CTRL + D
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow


Contact us

infotaip@gmail.com